Pages

PROMOSI NOTA CENDAWAN 2011

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN DISINI

ProjekCendawan 0 Komen & pandangan

JERAI 2 Jun - Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Begitulah halnya dengan Dr. Shirley Ooi, 35, yang sanggup meninggalkan jawatan doktor di Kanada untuk kembali ke Gunung Jerai mengikut jejak langkah bapanya, Ooi Chooi Liang mengusahakan tanaman cendawan shiitake yang bermutu tinggi itu.

Shirley, 35, yang memang meminati bidang pertanian sejak kecil itu tidak menoleh ke belakang lagi setelah menyedari bahawa cendawan shiitake mempunyai prospek yang tinggi dalam pasaran tempatan sekali gus berpotensi untuk menakluki pasaran dunia.

Menurut Shirley, shiitake merupakan jenis cendawan yang paling digemari di seluruh dunia kerana kaya dengan pelbagai khasiat.

"Shiitake mempunyai pelbagai asid amino dan lebih terkumpul berbanding dengan kacang soya, daging, susu atau telur.

"Cendawan sekecil shiitake mengandungi banyak vitamin, mineral yang diperlukan untuk badan seperti vitamin A, B, B12, C, D dan Niasin menyebabkan ia dihargai kerana mempunyai pelbagai manfaat dalam bidang perubatan di samping rasanya yang lazat," ujarnya.

Selain itu, katanya, shiitake juga mengandungi lentinan iaitu agen anti-kanser dan sesuai digunakan sebagai terapi imun untuk kanser paru-paru, usus, serviks dan payudara serta dipercayai mampu merencat semula sel kanser daripada merebak.

Tambahan pula, kata Shirley, shiitake dapat meningkatkan sistem imun dengan merangsang limfusit dan makrofaj melawan bakteria, virus, sel tumor dan toksin.

Shirley memberitahu, sewaktu menetap di Kanada dia mendapati bidang pertanian di sana mampu menjadikan pengusahanya kaya-raya dan mereka amat menghormati orang yang menceburkan diri dalam bidang pertanian.

"Bidang pertanian di sana lebih maju ke hadapan berbanding negara kita dan ramai golongan muda di sana berminat untuk menyertai bidang ini.

"Jadi saya berharap para graduan yang masih tercari-cari arah kerjaya supaya jangan malu untuk menyertai bidang pertanian ini," katanya.

Dia masih mengingati bagaimana kesukaran yang dihadapi bapanya untuk mencari modal bagi memulakan penanaman shiitake sehingga terpaksa menebalkan muka meminjam daripada saudara-mara semata-mata kerana minatnya dalam bidang tanaman cendawan.

"Ayah saya telah membuktikan bahawa dia berjaya menghasilkan cendawan shiitake yang terbaik di dunia hanya melalui proses pembelajaran sendiri tanpa mengikuti mana-mana kursus.

"Dia mencuba dan terus mencuba tanpa erti putus asa dan belajar melalui buku serta Internet mengenai cara-cara penanaman shiitake dan akhirnya dia berjaya," katanya.

Oleh itu katanya, sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut cara-cara penanaman shiitake, mereka boleh berkunjung ke ladang Agro-Bio Future di Gunung Jerai yang sentiasa terbuka kepada orang ramai.

0 Komen & pandangan: