Pages

PROMOSI NOTA CENDAWAN 2011

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN DISINI

ProjekCendawan 1 Komen & pandangan

Walaupun pertanian menjadi sektor utama Malaysia, negara masih jauh ketinggalan dalam pengeluaran hasil pertanian untuk menampung keperluan sendiri.

Dengan anugerah tanah yang subur, iklim bersesuaian, tenaga kerja ramai, berkemampuan dan diiringi kedudukan ekonomi serta politik yang stabil, belum cukup untuk dijadikan pengukur kejayaan tanpa usaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan dengan sebenar-benarnya slogan "Pertanian Adalah Perniagaan".

"Kita boleh pelajari dari Thailand", itu adalah kesimpulan yang diperoleh hasil lawatan selama empat hari Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed ke negara jiran itu.

Malaysia perlu banyak belajar dan mencontohi terutama dari segi kesungguhan, ketekunan dan kegigihan rakyat Thailand dalam memajukan sektor pertanian negara mereka, katanya kepada Bernama.

Mustapa mengetuai pelbagai agensi kerajaan di bawah kementeriannya dalam lawatan itu baru-baru ini, untuk mempelajari, menjalinkan hubungan dan melawat tempat-tempat yang boleh dibawa kepakarannya di Malaysia.

PERTANIAN SECARA BESAR-BESARAN

Mustapa berkata, rakyat Thailand mengamalkan konsep pertanian berskala besar yang menyumbang kepada faktor kejayaan mereka untuk muncul sebagai pesaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, keupayaan negara jiran itu memajukan sektor pertaniannya sehingga menjadi antara negara pengeluar hasil pertanian utama dunia, memangkin semangat Malaysia untuk turut berkongsi ilmu bagi meningkatkan mutu dan hasil produktiviti pertanian negara.

Mustapa berkata, beliau menyimpulkan jika ia berjaya dipraktikkan di Malaysia, kedudukan negara akan lebih selamat kerana tidak perlu bergantung lagi kepada 'belas ihsan' negara lain untuk memenuhi keperluan makanan negara.

"Untuk menjayakan hasrat ini, kemajuan teknologi memainkan peranan yang amat penting. Kerana itu, lawatan tidak sempurna jika tidak berkunjung ke Universiti Kasetsart, salah sebuah universiti yang banyak terlibat dengan penghasilan teknologi pertanian di Thailand," katanya.

Beliau berkata apa yang Malaysia perlu lakukan sekarang ialah mengubah sikap sebahagian besar petani agar moto "Pertanian Adalah Perniagaan" dapat benar-benar dihayati seterusnya direalisasikan.

LADANG TENUSU CHOKCHAI

Katanya, antara tempat yang dilawati termasuk Ladang Tenusu ChokChai di Nokhom Ratchasima, pasar borong pertanian bersepadu Talaad Thai, Projek Diraja Chitralada.

Mustapa berkata, Thailand dikenali sebagai "dapur dunia" mempunyai banyak aspek industri pertanian yang boleh dipelajari termasuk industri tenusu di negara itu.

Malaysia, katanya, boleh menjadikan Ladang Tenusu ChokChai sebagai contoh. Ia bukan sekadar sebuah ladang, malah diiktiraf institusi perladangan tenusu persendirian yang amat berjaya dan satu daripada ladang tenusu yang paling canggih di Asia Tenggara.

Dengan keluasan kira-kira 3,200 hektar dan terletak 155 km dari Bangkok, ia memberi pengunjung satu pengalaman berada dalam kehidupan di alam semula jadi. Ia sebuah ladang yang lengkap, mempunyai tanamam rumput dan jagung sendiri untuk ternakannya, malah mempunyai simpanan rumput ternakan.

Ladang Tenusu Chokchai ialah satu projek agro-pelancongan yang menjalankan aktiviti pertanian seperti ternakan lembu tenusu dan lembu daging untuk kegunaan tempatan. Kawasan ini juga dibuka kepada orang ramai bagi tujuan pembelajaran.

Dengan tenusu sebagai asas kegiatan perniagaan, ladang ini telah memperluaskan bidang kegiatannya seperti pelancongan, hospitaliti, peruncitan, dan khidmat perundingan.

Ia mempunyai jabatan penyelidikan dan pengembangannya sendiri untuk mempertingkatkan hasil pengeluaran dari ladang dan binatang ternakannya. Ladang tenusu Chokchai adalah ladang pertama di Thailand yang mengeksport ternakan tenusunya ke Malaysia, Laos dan Vietnam.

PASAR BORONG PERTANIAN

Begitu juga dengan Talaad Thai, pasar borong pertanian bersepadu utama di Thailand yang beroperasi 24 jam. Didirikan pada 1995 dan diuruskan oleh Thai Agro Exchange Co. Ltd, ia adalah pusat pengedaran bagi produk pertanian tempatan dan luar negara.

Terletak di kawasan seluas 80 hektar, pasar ini boleh memuatkan 15,000 metrik tan hasil pertanian sehari dan mempunyai ruang untuk buah-buahan, sayur-sayuran, daging dan hasil laut, tanaman, bunga dan makanan kering.

Pasar ini menempatkan segala produk pertanian, ternakan dan perikanan yang dihasilkan petani dari seluruh Thailand, malah juga produk pertanian dari luar negara, untuk proses jual-beli yang sistematik.

Pasar ini merupakan sebuah pusat perdagangan produk pertanian termoden dan terbesar di Thailand dan Asia.

PROJEK DIRAJA CHITRALADA

Manakala projek pertanian Chitralada adalah unik kerana ia dipercayai menjadi projek yang pertama seumpamanya di dunia diilhamkan oleh keluarga diraja.

Projek ini mengambil tempat di Chitralada Palace, yang menjadi kediaman Raja Bhumibol Adulyadej sejak 1961, telah menjalankan pelbagai aktiviti sebagai kajian untuk peningkatan mutu dan hasil pertanian sesuai untuk diamalkan oleh petani.

Projek ini hasil keprihatinan istana untuk mengatasi masalah pertanian yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat negara itu.

Maka tidak hairanlah jika Istana Chitralada ini merupakan satu-satunya istana raja di dunia yang dikelilingi oleh bendang, ladang tenusu, kolam ikan dan puluhan kilang, termasuk bagi pembuatan lilin, minuman dari buah-buahan dan sayur-sayuran, roti, kertas dan buah-buahan dalam tin.

Apa yang istimewa mengenai projek ini ialah setiap kegiatan yang dijalankan mendapat perhatian daripada Raja Bhumibol secara peribadi.

Sesuatu yang menarik mengenai projek diraja ini ialah tidak ada sisa terbuang yang dihasilkan dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Misalnya, jika padi diproses menjadi beras, sekamnya pula tidak dibuang begitu saja dan dijadikan bahan bakar.

Malah kreativiti mereka nyata terserlah apabila minyak masak terpakai juga dihasilkan menjadi sabun dan lilin.

Sememangnya, masih banyak yang perlu dilakukan Malaysia jika ingin menjadi satu daripada pemain utama dalam sektor pertanian, apatah lagi untuk menjadi pengeluar bahan makanan utama dunia.

Namun, sebagaimana yang telah dibuktikan Thailand, sesukar manapun ia, dengan komitmen dan kesungguhan, tidak mustahil Malaysia mampu mencontohinya. Ia hanya memerlukan komitmen dan ketabahan untuk berjaya.

1 Komen & pandangan:

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju dengan ulasan bertulis tentang pertanian ini. Malaysia sememangnya harus berguru dengan Thailand dalam aspek pertanian. ini adalah kerana pertanian di Thailand jauh berbeza kualiti dan kuantiti yang mampu memberi pulangan yang tinggi kepada negaranya berbanding Malaysia.

Bukanlah untuk menyebelahi Thailand, dan bukanlah untuk menjatuhkan Negara sendiri yakni Malaysia, tetapi sikap ego, terlalu cepat membangga 'diri', dan sombong Negara ini yang membuatkan Malaysia tidak begitu utuh dalam bidang pertanian. sedangkan mekanisme bumi dan Tanah adalah lebih kurang dengan Thailand.

Apa yang dapat dilihat di sini adalah:

Malaysia mengamalkan konsep 'tin kosong, riuh sekampung' tetapi pelaksanaan tidak ke mana.

Thailand mengamalkan konsep 'laksana dan dapat duit' tanpa menitik-beratkan riuh sekampung yg diamalkan oleh Malaysia.

semoga kita tidak melatah dan trima hakikat ini.