Pages

PROMOSI NOTA CENDAWAN 2011

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN DISINI

ProjekCendawan 0 Komen & pandangan

Gadis gagal ke IPT usaha tanaman secara komersial jana pendapatan tetap


TUARAN, SABAH Walaupun tanaman cendawan masih baru dan belum luas diusahakan di daerah ini, hasil serta pulangan diperoleh pengusaha yang menceburi bidang itu secara komersial cukup membanggakan dan lumayan.

Justeru, bidang itu dilihat mempunyai masa depan cerah jika ada usaha mempromosikannya secara berterusan, termasuk galakan dan bantuan kerajaan menerusi agensi berkaitan.


Ketika ini, bilangan petani yang terbabit dalam penanaman cendawan di Tuaran boleh dihitung dengan jari berikutan kurang pendedahan mengenai peluang yang ada serta masa depan perusahaan itu.

Menyedari penanaman cendawan menjanjikan masa depan cerah untuk dikomersialkan dan lumayan hasilnya, beberapa petani di daerah ini mengambil inisiatif sendiri menceburi perusahaan itu secara kecil-kecilan yang dijalankan di halaman rumah.

Ternyata, usaha tanpa kemahiran dijalankan petani kampung itu memberi pendapatan sara diri untuk keluarga, selain dapat mengisi masa lapang dengan pekerjaan bermanfaat sementara menunggu masa menuai hasil padi sawah dan bukit.

Antaranya, Sylvia Ellianor Boyong, 23, yang memberanikan diri menceburi penanaman cendawan sepenuh masa di Kampung Suromboton, Tenghilan, Tamparuli sejak awal 2006.

Hasilnya, ketekunan usaha gadis Dusun lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) kerana halangan masalah kewangan itu, membolehkannya tersenyum dengan usaha dilakukan dua tahun lalu itu.

"Selain menghadapi masalah kewangan yang menghalang saya melanjutkan pengajian di peringkat IPT, saya menyimpan hasrat membantu merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan pertanian sebagai perniagaan.

"Saya menceburi penanaman cendawan secara komersial di halaman rumah dengan menamakan perusahaan itu Sylvia Mushrooms Enterprise," katanya ditemui di lokasi tanaman cendawan di Kampung Suromboton, Tenghilan, baru-baru ini.

Sylvia adalah satu-satunya pengusaha muda yang sanggup menghasilkan masa remajanya dengan menceburi bidang yang jarang diminati golongan seusianya.

Dengan pondok daripada daun rumbia dan diselimuti kelambu hitam, Sylvia menempatkan lebih 50 bungkus habuk papan dalam plastik secara bertingkat sebagai tempat menyemai benih cendawan.

Beliau yang bermula dengan modal RM1,000 mengusahakan tiga spesies cendawan tempatan iaitu cendawan tiram, cendawan putih dan cendawan kelabu, manakala benih diperoleh daripada pengeluar di Kundasang, Ranau.

"Cendawan boleh dipasarkan selepas seminggu penuaian hasil, manakala sebahagian besar permintaan datangnya daripada penggemar makanan itu di sekitar Tuaran, Tamparuli dan Kota Belud.

"Ada ketikanya saya tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan yang bertambah dari sehari ke sehari memandangkan hasil tanaman cendawan saya usahakan masih pada tahap kecil-kecilan," katanya.

Sylvia berkata, penjagaan tanaman cukup penting untuk menjamin kualiti keluaran, selain memastikan bekalan tidak putus setiap minggu bagi memperoleh pendapatan secara berpanjangan.

Katanya, tanaman cendawan tidak memerlukan sebarang baja dan semburan racun serangga kerana pembesarannya dipengaruhi kesuburan semaian serta jumlah air.

Beliau mengakui minat menceburi penanaman cendawan secara komersial timbul selepas mengikuti beberapa kursus berkaitan anjuran Jabatan Pertanian Tuaran dan Penampang.

Katanya, perusahaan yang dijalankan dengan bantuan keluarga itu kini menjadi sumber pendapatan tetapnya, di samping mengusahakan kolam ikan dan tanaman sayur-sayuran.

Sylvia menjadikan tamu mingguan di Tuaran, Tamparuli dan Kota Belud sebagai pusat pasaran hasil cendawan, selain memenuhi tempahan orang ramai di Kota Kinabalu setiap minggu.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada beberapa wakil rakyat termasuk bekas Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, yang banyak membantu merealiasasikan tanaman cendawan diusahakan itu.

FAKTA: Projek diusahakan Sylvia Mushrooms Enterprise

  • Diusahakan di halaman rumah

  • Projek pertama di Kampung Suromboton

  • Di tanam dalam pondok khas

  • Mula berbunga selepas tiga hari disemai.

  • 0 Komen & pandangan: