Pages

PROMOSI NOTA CENDAWAN 2011

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN DISINI

ProjekCendawan 0 Komen & pandangan

KERAJAAN menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Malaysia sedang berpatah balik ke belakang apabila memberi penekanan semula terhadap bidang pertanian negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata usaha kerajaan memperhebatkan bidang pertanian negara tidak bererti negara sedang ke belakang, malah pertanian di negara ini semakin maju dengan menambah nilai hasil pertanian itu.

Muhyiddin berkata tujuan kerajaan memberi tumpuan kepada pertanian dan industri asas tani ialah bagi memastikan rakyat negara ini tidak mengalami masalah bekalan makanan.

“Banyak negara maju sekarang membangunkan semula pertanian di negara mereka untuk keselamatan makanan kerana jumlah penduduk semakin meningkat dan hasil tanaman tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan rakyat,” katanya ketika melancarkan program Bicara Tani peringkat kebangsaan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Star, Kedah, semalam.



Muhyiddin berkata, setakat ini industri pertanian negara cuma mampu mengeluarkan 75 peratus makanan untuk rakyat dan Malaysia masih bergantung kepada makanan import.
Program yang bermula hari ini hingga Mac depan di 98 daerah seluruh negara itu dijangka mampu menarik minat masyarakat terhadap bidang pertanian yang mampu memberi pulangan lumayan.

Menurut Muhyiddin, program terbabit satu lagi usaha kementerian menjadikan sektor pertanian kepada sektor yang lebih moden serta menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama makanan di peringkat global.

Program berbentuk forum sehari itu bertujuan memberi maklumat terkini mengenai hala tuju, strategi, bantuan dan sokongan disediakan agensi berkaitan.

“Kita akan menempatkan pakar dalam bidang pertanian dan memberi peluang kepada orang ramai yang berminat dengan sektor pertanian berinteraksi dengan mereka.

“Mereka daripada kalangan petani pula boleh mengemukakan segala masalah dalam bidang berkenaan di samping meningkatkan pengetahuan dalam bidang pertanian,” katanya.

Orang ramai terutama petani ketika ditemui rata-rata menyifatkan peluang terbaik mereka menambah pengetahuan serta pendapatan dalam bidang pertanian yang diceburi.

Petani, Shamsuddin Ibrahim, 47, berkata usaha kerajaan mengadakan program berkenaan tepat.

Beliau yang mengusahakan projek ternakan ikan keli di Jitra, berkata ia memberi peluang kepadanya memperbesarkan kolam ternakan sedia ada.

“Ia memberi keyakinan kepada saya pertanian itu satu bentuk perniagaan yang boleh menyara hidup dan memberi pulangan menguntungkan,” katanya.

Menerusi program itu, kementerian berkenaan turut mensasarkan penyertaan lebih 24,500 peserta dalam industri pertanian di semua 98 daerah seluruh negara.

0 Komen & pandangan: