Terkenang sewaktu di kampung, mengutip cendawan atau kulat selepas hujan adalah satu kemestian untuk dijadikan lauk makan tengah hari mahu pun malam.
Paling terkenal, kulat sisir dan cendawan butang yang sedap digoreng dengan telur dan kelapa atau dimasukkan ke dalam sayur dan sup sebagai bahan perisa.
Berbanding 20 tahun lalu, kini cendawan boleh dibeli di kedai-kedai dan dijual sebagai hidangan istimewa di restoran-restoran.
Malah, tumbuhan ini diusahakan secara komersial bagi memenuhi permintaan pasaran sama ada di dalam atau di luar negeri.
Di samping rasanya yang lazat, cendawan juga rendah kalori dan karbohidrat serta bebas daripada lemak dan sodium.
Malah ia juga merupakan sumber yang kaya dengan potassium, vitamin B, riboflavin dan niasin.
Apa yang lebih menarik, beberapa kumpulan penyelidik dari Amerika Syarikat dan Jepun mendapati cendawan turut berkesan untuk melawan kanser.
Menurut Chef Steve Ng dari Hotel Legend Kuala Lumpur, cendawan adalah antara bahan masakan paling popular yang menjadi pilihan tukang masak masa kini.
Katanya, setiap jenis cendawan segar mempunyai tekstur, rasa dan keistimewaan yang tersendiri.
Contohnya, cendawan portbello impresif dari segi saiz dan penampilan yang mana ia boleh membesar sehingga 15 sentimeter ukur lilit dengan rasa dan tekstur seakan daging.
``Cendawan tiram pula mempunyai rasa yang lembut dengan tekstur bak baldu manakala bendawan enoki agak rangup.
``Sementara cendawan morelle pula mempunyai rasa yang seakan-akan kacang dengan bauan kayu,'' katanya semasa ditemui baru-baru ini.
Untuk penggemar hidangan berasaskan cendawan, Restoran The Legend Natural Cuisine di Hotel Legend Kuala Lumpur kini mengadakan promosi `Mushroom Mania' sehingga 20 Januari ini.
Sepanjang promosi tersebut, pelbagai jenis cendawan seperti portobello, shitake, morelle, enoki dan tiram dimasak dalam pelbagai cara yang kreatif.
Antara hidangan yang ditawarkan ialah cendawan liar ragout dengan telur dan tomato, salad arugula dan pomegranate dengan cendawan tiram, cendawan berempah ravioli dengan tomato dan lain-lain lagi.
Semua hidangan ini boleh dipesan untuk makan tengah hari atau makan malam pada harga dari RM9.00 hingga RM30 setiap satu.
0 Komen & pandangan:
Catat Ulasan