Pages

PROMOSI NOTA CENDAWAN 2011

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN DISINI

ProjekCendawan 1 Komen & pandangan

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata langkah kerajaan memajukan sektor pertanian ternyata telah membawa kebaikan terutama sekali dengan pelbagai krisis yang melanda dunia ketika ini termasuk kekurangan makanan.

Perdana Menteri berkata kerajaan memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan perladangan kerana ia dilihat adalah sumber penting dan dapat meningkatkan ekonomi negara.

"Walaupun pada peringkat awal, orang menganggap Pak Lah nak maju ke depan tapi sentiasa pandang ke belakang, macamana nak maju ke depan? Tapi kita telah lihat bahawasa langkah yang kita ambil betul", katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-23 di sini, hari ini.

Katanya krisis kekurangan makanan merupakan salah satu daripada pelbagai krisis yang melanda dunia ketika ini selain krisis kewangan dan kenaikan harga minyak yang telah membawa pelbagai masalah sampingan.

"Harga minyak sudah mula menurun tapi masalah kenaikan harga barang dan inflasi masih belum dapat ditangani secukupnya dan masalah-masalah lain yang telah berlaku.

"Macamana kita perlu hadapi semua ini...dengan sabar, jangan hilang keyakinan atau kelam kabut, tabah...dengan kekuatan yang kita ada supaya kita tidak terkubur dalam keadaan ini, dan supaya ekonomi kita tidak jadi begitu lemah sehingga tidak boleh dibangunkan semula," katanya.

Abdullah berkata kerajaan telah mengambil pelbagai tindakan untuk memastikan krisis berkenaan tidak melemahkan ekonomi negara dan menjejaskan usaha membangunkan negara mengikut perancangan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dalam pada itu, Abdullah juga berharap pembaharuan yang beliau bertekad untuk dilaksanakan bagi memperkukuhkan institusi negara sebelum beliau berundur pada Mac tahun depan, dapat diluluskan oleh Parlimen menjelang tarikh itu.

Beliau merujuk kepada tiga rang undang-undang berkaitan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Aduan Khas yang dijadual dibentangkan pada sesi Parlimen pada Februari tahun depan.

ProjekCendawan 0 Komen & pandangan

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengingatkan kumpulan petani, penternak dan nelayan agar lebih gigih untuk menjadikan bidang pertanian sebagai satu perniagaan yang berdaya maju.

Beliau berkata berlandaskan kepada konsep Agro "P.O.L" iaitu P-Pasaran, O-Organisasi dan L-Lurus dan Tulus, bidang pertanian boleh dimajukan sebagai sebuah perniagaan yang mampu untuk mengubah nasib petani, penternak dan nelayan.

"Dulu kalau nak jadi peniaga, kena ada beg James Bond dulu, tapi sekarang itu tidak lagi penting, kalau mahu jadi peniaga, rancanglah bidang pertanian dengan baik," katanya berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2008 di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini hari ini.

Katanya sebelum membuat keputusan untuk terbabit dalam bidang pertanian, mereka yang berkenaan seharusnya melihat kehendak pasaran semasa.

Beliau menjelaskan langkah yang diambil oleh petani di Amerika Syarikat yang sebelum ini lebih tertumpu kepada gandum dan soya dan kemudian kepada bio-diesel harus menjadi contoh yang baik kepada petani di negara ini.

Taib berkata bidang pertanian hari ini perlu diurus dengan lebih baik melalui organisasi yang cekap dan mantap melibatkan lebih banyak pakar dalam pengurusan selain mereka yang terlibat dalam pertanian.

Selain itu, katanya mereka yang terbabit dalam bidang pertanian seharusnya lebih jujur dan lurus dalam melaksanakan apa juga bentuk kerjasama untuk memajukan industri tersebut.

"Pemilik tanah harusnya bekerjasama dengan mereka yang mempunyai modal untuk melabur dalam sektor pertanian selain menekankan kepada dasar menang-menang pada kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu Febian Anggoh Uchong dari Bintangor, Sarikei yang terlibat dalam projek ternakan ikan air tawar, tanaman buah-buahan dan kelapa sawit diumumkan sebagai Peladang Jaya Lelaki 2008.

Duyah Mudin dari Subis, Miri yang terlibat dalam penanaman buah-buahan dan sayuran selain projek penanaman buah mata naga, limau manis dan kelapa sawit diumumkan sebagai Peladang Jaya Wanita 2008.

ProjekCendawan 4 Komen & pandangan


Nor Ariff Mat Nasid menunjukkan benih cendawan tiram kelabu di Tunas Alam Agrotech, Titi Gantung, Bota Kiri, Perak, semalam.
- Gambar HANAFI KHAMIS


BOTA 7 Nov. - Menyedari bidang pertanian mendatangkan pulangan yang lumayan, seorang pemuda, Nor Ariff Mat Nasid, 28, nekad berhenti kerja di sebuah kilang kereta kerana mahu menceburi tanaman cendawan tiram kelabu di Parit 11, Titi Gantung, dekat sini.

Beliau yang menceburi perusahaan itu bersama-sama dengan abangnya, Nor Azman telah memajukan perusahaan tersebut sejak dua tahun lalu.

"Saya sanggup berhenti kerja di kilang membuat kereta di Rawang kerana mendapati tanaman cendawan yang diusahakan di rumah mempunyai potensi di pasaran.

"Saya dan abang memajukan tanaman cendawan ini kerana tidak ada pengusaha lain yang memajukan perusahaan ini di sini secara besar-besaran," katanya ketika ditemui pada pameran sempena Hari Ladang anjuran Jabatan Pertanian Daerah Perak Tengah di Titi Gantung dekat sini hari ini.

Beliau yang mendapat bimbingan daripada usahawan yang berjaya mengenai tanaman cendawan ini mengusahakan tanaman itu walaupun tidak mempunyai sebarang peralatan moden dan canggih.

''Saya dan abang melaburkan modal permulaan sebanyak RM10,000 untuk membina sebuah rumah bagi menempatkan tanaman yang semakin digemari ramai itu.

"Tanaman ini menggunakan bahan-bahan yang mudah diperoleh seperti kulit gandum, dedak padi, kapur dan habuk kayu untuk dijadikan tempat pembiakan cendawan ini," katanya.

Hasilnya, kata Nor Ariff, perusahaannya kini mempunyai 40,000 beg cendawan yang sedia untuk dituai pada bila-bila masa.

"Walaupun perusahaan ini dibuat di kawasan rumah tetapi saya berpuas hati kerana kualiti cendawan yang dihasilkan setanding dengan cendawan yang diusahakan oleh pengusaha lain," katanya.

Nor Ariff berkata, cendawan tiram kelabu ini mempunyai rasa yang enak apabila di makan kerana penanamannya tidak menggunakan bahan-bahan kimia.

Menurut beliau, penanaman cendawan ini mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh dua bulan.

Katanya, hasil cendawan ini boleh dituai dalam tempoh di antara tujuh hingga sembilan bulan bagi setiap beg plastik yang diusahakan itu.

''Setiap cendawan yang dikutip itu dipasarkan di sekitar Titi Gantung dan Seri Iskandar dengan harga di antara RM8 hingga RM10 bagi setiap sekilogram," katanya.

Nor Ariff bercadang untuk membesarkan perusahaannya pada masa depan dengan harapan tanaman ini boleh dipasarkan di beberapa kawasan lain kerana permintaan yang meningkat dari semasa ke semasa.

Katanya, sesiapa yang berminat mengikuti kursus mengenai penanaman cendawan boleh menghubungi beliau di Lot 262, Parit 11, Titi Gantung, Bota Kiri, Perak.

ProjekCendawan 0 Komen & pandangan


Dr. Noorlidah Abdullah dan Dr. S. Vikineswary menunjukkan penyelidikan mereka mengenai cendawan di Universiti Malaya. - Gambar hiasan


Bila bercerita mengenai cendawan apa yang terbayang hanya cendawan tiram kelabu yang popular di kalangan penanam.

Tetapi sebenarnya terdapat banyak jenis cendawan di negara ini memandangkan biodiversiti yang tinggi.

Bagaimanapun di negara ini industri cendawan masih di peringkat awal dan masih memerlukan banyak usaha untuk membangunkannya.

Malaysia yang terletak di kawasan khatulistiwa amat bertuah kerana mempunyai pelbagai spesies cendawan yang berpotensi dimajukan dalam industri makanan dan perubatan.

Justeru Pusat Penyelidikan Cendawan Universiti Malaya (UM), Persatuan Cendawan Malaysia, Jabatan Pertanian dan Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS) menganjurkan Persidangan Cendawan dan Foray 2008.

Persidangan yang membincangkan mengenai pandangan global mengenai industri cendawan akan diadakan pada 27 hingga 29 November ini di Fakulti Sains UM.

Persidangan berkenaan diharap dapat menyediakan landasan bagi pakar-pakar dari seluruh dunia bagi memindahkan teknologi dan inovasi terkini dalam industri cendawan kepada usahawan tempatan.

Di persidangan itu, usahawan juga boleh bertukar-tukar idea dan pengalaman dengan mereka yang terlibat dalam industri berkenaan seperti penyelidik dan penanam cendawan.

Persidangan yang akan membincangkan mengenai sumber cendawan dan peningkatan strain, inovasi penanaman cendawan dan produk cendawan serta pemasaran sesuai dihadiri oleh usahawan cendawan, saintis, perbankan, pelajar dan pegawai kerajaan.

Acara sepanjang hari:

lPameran Cendawan Dalam Kehidupan Seharian

lJualan

nMakanan dan minuman berasaskan cendawan

nProduk - produk berasaskan cendawan

nPelbagai jenis cendawan segar

nBarangan batik bercorak cendawan

lDemonstrasi

nMasakan resipi cendawan

nPenjagaan kit cendawan segar

nPenanaman cendawan jerami

Acara lain yang menarik

*Peraduan:

-Mewarna

-Melukis

*Kutip & Kenali Cendawan Liar di laluan semula jadi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS)

Ceramah mengenai cendawan

*Makan Cendawan: Hidup Lebih Sihat dan Ceria oleh Prof. Dr. S.T. Chang

*Vermikompos dari sisa penanaman cendawan

*Menjinakkan Cendawan Liar oleh Prof. Dr. Thomas Volk

*Basidiomycetes: Kepelbagaian, Peranan Ekologi and Potensi Nilai Komersial oleh Prof. Dr. E.B.G. Jones

Mereka yang berminat boleh menghubungi Persatuan Penyelidikan Cendawan di 03-7967 6714 atau 012-6511509 (Prof. Noorlidah)