Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengingatkan kumpulan petani, penternak dan nelayan agar lebih gigih untuk menjadikan bidang pertanian sebagai satu perniagaan yang berdaya maju.
Beliau berkata berlandaskan kepada konsep Agro "P.O.L" iaitu P-Pasaran, O-Organisasi dan L-Lurus dan Tulus, bidang pertanian boleh dimajukan sebagai sebuah perniagaan yang mampu untuk mengubah nasib petani, penternak dan nelayan.
"Dulu kalau nak jadi peniaga, kena ada beg James Bond dulu, tapi sekarang itu tidak lagi penting, kalau mahu jadi peniaga, rancanglah bidang pertanian dengan baik," katanya berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2008 di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini hari ini.
Katanya sebelum membuat keputusan untuk terbabit dalam bidang pertanian, mereka yang berkenaan seharusnya melihat kehendak pasaran semasa.
Beliau menjelaskan langkah yang diambil oleh petani di Amerika Syarikat yang sebelum ini lebih tertumpu kepada gandum dan soya dan kemudian kepada bio-diesel harus menjadi contoh yang baik kepada petani di negara ini.
Taib berkata bidang pertanian hari ini perlu diurus dengan lebih baik melalui organisasi yang cekap dan mantap melibatkan lebih banyak pakar dalam pengurusan selain mereka yang terlibat dalam pertanian.
Selain itu, katanya mereka yang terbabit dalam bidang pertanian seharusnya lebih jujur dan lurus dalam melaksanakan apa juga bentuk kerjasama untuk memajukan industri tersebut.
"Pemilik tanah harusnya bekerjasama dengan mereka yang mempunyai modal untuk melabur dalam sektor pertanian selain menekankan kepada dasar menang-menang pada kedua-dua pihak," katanya.
Sementara itu Febian Anggoh Uchong dari Bintangor, Sarikei yang terlibat dalam projek ternakan ikan air tawar, tanaman buah-buahan dan kelapa sawit diumumkan sebagai Peladang Jaya Lelaki 2008.
Duyah Mudin dari Subis, Miri yang terlibat dalam penanaman buah-buahan dan sayuran selain projek penanaman buah mata naga, limau manis dan kelapa sawit diumumkan sebagai Peladang Jaya Wanita 2008.
PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN DISINI
| |
| Nor Ariff Mat Nasid menunjukkan benih cendawan tiram kelabu di Tunas Alam Agrotech, Titi Gantung, Bota Kiri, Perak, semalam. - Gambar HANAFI KHAMIS |
BOTA 7 Nov. - Menyedari bidang pertanian mendatangkan pulangan yang lumayan, seorang pemuda, Nor Ariff Mat Nasid, 28, nekad berhenti kerja di sebuah kilang kereta kerana mahu menceburi tanaman cendawan tiram kelabu di Parit 11, Titi Gantung, dekat sini.
Beliau yang menceburi perusahaan itu bersama-sama dengan abangnya, Nor Azman telah memajukan perusahaan tersebut sejak dua tahun lalu.
"Saya sanggup berhenti kerja di kilang membuat kereta di Rawang kerana mendapati tanaman cendawan yang diusahakan di rumah mempunyai potensi di pasaran.
"Saya dan abang memajukan tanaman cendawan ini kerana tidak ada pengusaha lain yang memajukan perusahaan ini di sini secara besar-besaran," katanya ketika ditemui pada pameran sempena Hari Ladang anjuran Jabatan Pertanian Daerah Perak Tengah di Titi Gantung dekat sini hari ini.
Beliau yang mendapat bimbingan daripada usahawan yang berjaya mengenai tanaman cendawan ini mengusahakan tanaman itu walaupun tidak mempunyai sebarang peralatan moden dan canggih.
''Saya dan abang melaburkan modal permulaan sebanyak RM10,000 untuk membina sebuah rumah bagi menempatkan tanaman yang semakin digemari ramai itu.
"Tanaman ini menggunakan bahan-bahan yang mudah diperoleh seperti kulit gandum, dedak padi, kapur dan habuk kayu untuk dijadikan tempat pembiakan cendawan ini," katanya.
Hasilnya, kata Nor Ariff, perusahaannya kini mempunyai 40,000 beg cendawan yang sedia untuk dituai pada bila-bila masa.
"Walaupun perusahaan ini dibuat di kawasan rumah tetapi saya berpuas hati kerana kualiti cendawan yang dihasilkan setanding dengan cendawan yang diusahakan oleh pengusaha lain," katanya.
Nor Ariff berkata, cendawan tiram kelabu ini mempunyai rasa yang enak apabila di makan kerana penanamannya tidak menggunakan bahan-bahan kimia.
Menurut beliau, penanaman cendawan ini mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh dua bulan.
Katanya, hasil cendawan ini boleh dituai dalam tempoh di antara tujuh hingga sembilan bulan bagi setiap beg plastik yang diusahakan itu.
''Setiap cendawan yang dikutip itu dipasarkan di sekitar Titi Gantung dan Seri Iskandar dengan harga di antara RM8 hingga RM10 bagi setiap sekilogram," katanya.
Nor Ariff bercadang untuk membesarkan perusahaannya pada masa depan dengan harapan tanaman ini boleh dipasarkan di beberapa kawasan lain kerana permintaan yang meningkat dari semasa ke semasa.
Katanya, sesiapa yang berminat mengikuti kursus mengenai penanaman cendawan boleh menghubungi beliau di Lot 262, Parit 11, Titi Gantung, Bota Kiri, Perak.
| |
| Dr. Noorlidah Abdullah dan Dr. S. Vikineswary menunjukkan penyelidikan mereka mengenai cendawan di Universiti Malaya. - Gambar hiasan |
Bila bercerita mengenai cendawan apa yang terbayang hanya cendawan tiram kelabu yang popular di kalangan penanam.
Tetapi sebenarnya terdapat banyak jenis cendawan di negara ini memandangkan biodiversiti yang tinggi.
Bagaimanapun di negara ini industri cendawan masih di peringkat awal dan masih memerlukan banyak usaha untuk membangunkannya.
Malaysia yang terletak di kawasan khatulistiwa amat bertuah kerana mempunyai pelbagai spesies cendawan yang berpotensi dimajukan dalam industri makanan dan perubatan.
Justeru Pusat Penyelidikan Cendawan Universiti Malaya (UM), Persatuan Cendawan Malaysia, Jabatan Pertanian dan Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS) menganjurkan Persidangan Cendawan dan Foray 2008.
Persidangan yang membincangkan mengenai pandangan global mengenai industri cendawan akan diadakan pada 27 hingga 29 November ini di Fakulti Sains UM.
Persidangan berkenaan diharap dapat menyediakan landasan bagi pakar-pakar dari seluruh dunia bagi memindahkan teknologi dan inovasi terkini dalam industri cendawan kepada usahawan tempatan.
Di persidangan itu, usahawan juga boleh bertukar-tukar idea dan pengalaman dengan mereka yang terlibat dalam industri berkenaan seperti penyelidik dan penanam cendawan.
Persidangan yang akan membincangkan mengenai sumber cendawan dan peningkatan strain, inovasi penanaman cendawan dan produk cendawan serta pemasaran sesuai dihadiri oleh usahawan cendawan, saintis, perbankan, pelajar dan pegawai kerajaan.
Acara sepanjang hari:
lPameran Cendawan Dalam Kehidupan Seharian
lJualan
nMakanan dan minuman berasaskan cendawan
nProduk - produk berasaskan cendawan
nPelbagai jenis cendawan segar
nBarangan batik bercorak cendawan
lDemonstrasi
nMasakan resipi cendawan
nPenjagaan kit cendawan segar
nPenanaman cendawan jerami
Acara lain yang menarik
*Peraduan:
-Mewarna
-Melukis
*Kutip & Kenali Cendawan Liar di laluan semula jadi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS)
Ceramah mengenai cendawan
*Makan Cendawan: Hidup Lebih Sihat dan Ceria oleh Prof. Dr. S.T. Chang
*Vermikompos dari sisa penanaman cendawan
*Menjinakkan Cendawan Liar oleh Prof. Dr. Thomas Volk
*Basidiomycetes: Kepelbagaian, Peranan Ekologi and Potensi Nilai Komersial oleh Prof. Dr. E.B.G. Jones
Mereka yang berminat boleh menghubungi Persatuan Penyelidikan Cendawan di 03-7967 6714 atau 012-6511509 (Prof. Noorlidah)
Walaupun pertanian menjadi sektor utama Malaysia, negara masih jauh ketinggalan dalam pengeluaran hasil pertanian untuk menampung keperluan sendiri.
Dengan anugerah tanah yang subur, iklim bersesuaian, tenaga kerja ramai, berkemampuan dan diiringi kedudukan ekonomi serta politik yang stabil, belum cukup untuk dijadikan pengukur kejayaan tanpa usaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan dengan sebenar-benarnya slogan "Pertanian Adalah Perniagaan".
"Kita boleh pelajari dari Thailand", itu adalah kesimpulan yang diperoleh hasil lawatan selama empat hari Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed ke negara jiran itu.
Malaysia perlu banyak belajar dan mencontohi terutama dari segi kesungguhan, ketekunan dan kegigihan rakyat Thailand dalam memajukan sektor pertanian negara mereka, katanya kepada Bernama.
Mustapa mengetuai pelbagai agensi kerajaan di bawah kementeriannya dalam lawatan itu baru-baru ini, untuk mempelajari, menjalinkan hubungan dan melawat tempat-tempat yang boleh dibawa kepakarannya di Malaysia.
PERTANIAN SECARA BESAR-BESARAN
Mustapa berkata, rakyat Thailand mengamalkan konsep pertanian berskala besar yang menyumbang kepada faktor kejayaan mereka untuk muncul sebagai pesaing di peringkat antarabangsa.
Katanya, keupayaan negara jiran itu memajukan sektor pertaniannya sehingga menjadi antara negara pengeluar hasil pertanian utama dunia, memangkin semangat Malaysia untuk turut berkongsi ilmu bagi meningkatkan mutu dan hasil produktiviti pertanian negara.
Mustapa berkata, beliau menyimpulkan jika ia berjaya dipraktikkan di Malaysia, kedudukan negara akan lebih selamat kerana tidak perlu bergantung lagi kepada 'belas ihsan' negara lain untuk memenuhi keperluan makanan negara.
"Untuk menjayakan hasrat ini, kemajuan teknologi memainkan peranan yang amat penting. Kerana itu, lawatan tidak sempurna jika tidak berkunjung ke Universiti Kasetsart, salah sebuah universiti yang banyak terlibat dengan penghasilan teknologi pertanian di Thailand," katanya.
Beliau berkata apa yang Malaysia perlu lakukan sekarang ialah mengubah sikap sebahagian besar petani agar moto "Pertanian Adalah Perniagaan" dapat benar-benar dihayati seterusnya direalisasikan.
LADANG TENUSU CHOKCHAI
Katanya, antara tempat yang dilawati termasuk Ladang Tenusu ChokChai di Nokhom Ratchasima, pasar borong pertanian bersepadu Talaad Thai, Projek Diraja Chitralada.
Mustapa berkata, Thailand dikenali sebagai "dapur dunia" mempunyai banyak aspek industri pertanian yang boleh dipelajari termasuk industri tenusu di negara itu.
Malaysia, katanya, boleh menjadikan Ladang Tenusu ChokChai sebagai contoh. Ia bukan sekadar sebuah ladang, malah diiktiraf institusi perladangan tenusu persendirian yang amat berjaya dan satu daripada ladang tenusu yang paling canggih di Asia Tenggara.
Dengan keluasan kira-kira 3,200 hektar dan terletak 155 km dari Bangkok, ia memberi pengunjung satu pengalaman berada dalam kehidupan di alam semula jadi. Ia sebuah ladang yang lengkap, mempunyai tanamam rumput dan jagung sendiri untuk ternakannya, malah mempunyai simpanan rumput ternakan.
Ladang Tenusu Chokchai ialah satu projek agro-pelancongan yang menjalankan aktiviti pertanian seperti ternakan lembu tenusu dan lembu daging untuk kegunaan tempatan. Kawasan ini juga dibuka kepada orang ramai bagi tujuan pembelajaran.
Dengan tenusu sebagai asas kegiatan perniagaan, ladang ini telah memperluaskan bidang kegiatannya seperti pelancongan, hospitaliti, peruncitan, dan khidmat perundingan.
Ia mempunyai jabatan penyelidikan dan pengembangannya sendiri untuk mempertingkatkan hasil pengeluaran dari ladang dan binatang ternakannya. Ladang tenusu Chokchai adalah ladang pertama di Thailand yang mengeksport ternakan tenusunya ke Malaysia, Laos dan Vietnam.
PASAR BORONG PERTANIAN
Begitu juga dengan Talaad Thai, pasar borong pertanian bersepadu utama di Thailand yang beroperasi 24 jam. Didirikan pada 1995 dan diuruskan oleh Thai Agro Exchange Co. Ltd, ia adalah pusat pengedaran bagi produk pertanian tempatan dan luar negara.
Terletak di kawasan seluas 80 hektar, pasar ini boleh memuatkan 15,000 metrik tan hasil pertanian sehari dan mempunyai ruang untuk buah-buahan, sayur-sayuran, daging dan hasil laut, tanaman, bunga dan makanan kering.
Pasar ini menempatkan segala produk pertanian, ternakan dan perikanan yang dihasilkan petani dari seluruh Thailand, malah juga produk pertanian dari luar negara, untuk proses jual-beli yang sistematik.
Pasar ini merupakan sebuah pusat perdagangan produk pertanian termoden dan terbesar di Thailand dan Asia.
PROJEK DIRAJA CHITRALADA
Manakala projek pertanian Chitralada adalah unik kerana ia dipercayai menjadi projek yang pertama seumpamanya di dunia diilhamkan oleh keluarga diraja.
Projek ini mengambil tempat di Chitralada Palace, yang menjadi kediaman Raja Bhumibol Adulyadej sejak 1961, telah menjalankan pelbagai aktiviti sebagai kajian untuk peningkatan mutu dan hasil pertanian sesuai untuk diamalkan oleh petani.
Projek ini hasil keprihatinan istana untuk mengatasi masalah pertanian yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat negara itu.
Maka tidak hairanlah jika Istana Chitralada ini merupakan satu-satunya istana raja di dunia yang dikelilingi oleh bendang, ladang tenusu, kolam ikan dan puluhan kilang, termasuk bagi pembuatan lilin, minuman dari buah-buahan dan sayur-sayuran, roti, kertas dan buah-buahan dalam tin.
Apa yang istimewa mengenai projek ini ialah setiap kegiatan yang dijalankan mendapat perhatian daripada Raja Bhumibol secara peribadi.
Sesuatu yang menarik mengenai projek diraja ini ialah tidak ada sisa terbuang yang dihasilkan dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Misalnya, jika padi diproses menjadi beras, sekamnya pula tidak dibuang begitu saja dan dijadikan bahan bakar.
Malah kreativiti mereka nyata terserlah apabila minyak masak terpakai juga dihasilkan menjadi sabun dan lilin.
Sememangnya, masih banyak yang perlu dilakukan Malaysia jika ingin menjadi satu daripada pemain utama dalam sektor pertanian, apatah lagi untuk menjadi pengeluar bahan makanan utama dunia.
Namun, sebagaimana yang telah dibuktikan Thailand, sesukar manapun ia, dengan komitmen dan kesungguhan, tidak mustahil Malaysia mampu mencontohinya. Ia hanya memerlukan komitmen dan ketabahan untuk berjaya.
ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM IH'YA RAMADHAN SERTA SELAMAT HARI RAYA AIDLFIRI DARI KAMI PROJEKCENDAWAN.COM KHUSUSNYA KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN PENGUSAHA CENDAWAN MUSLIM DAN PELANGGAN-PELANGGAN KAMI.

MELALUI KESEMPATAN INI, PIHAK PROJEKCENDAWAN.COM INGIN MEMOHON MAAF SEPANJANG PENGLIBATAN PIHAK PROJEKCENDAWAN.COM SELAMA INI HARAP DIMAAFI. KEKURANGAN YANG BERLAKU ADALAH KELEMAHAN DARI PROJEKCENDAWAN.COM SENDIRI DAN APA YANG TERBAIK ADALAH DATANG DARI ALLAH S.W.T.
SEHUBUNGAN DENGAN ITU, PENGURUSAN DAN STAFF PROJEKCENDAWAN.COM AKAN MELAKSANAKAN IBADAH UMRAH PADA PERTENGAH RAMADHAN SEHINGGA AIDILFITRI KE 3 DI KOTA SUCI MEKAH.
OLEH DEMIKIAN, SETIAP URUSAN JUAL BELI PADA PERTENGAHAN BULAN SEPTEMBER AKAN DIHENTIKAN. WALAUBAGAIMANA PUN, ANDA BOLEH MENGHANTAR SEBARANG TEMPAHAN TERUS KE EMAIL : projekcendawan@gmail.com
INSYALLAH, SETIAP TEMPAHAN MELALUI AKAN DIBALAS SELEPAS HARI RAYA AIDILFITRI.
YANG BENAR
NOR AZWIN BINTI MOHD KHALIT
PENGARAH URUSAN
SYARIKAT USAHAWAN TANI TRADING SDN. BHD

JIKA seorang teman yang anda kasihi dan menghubungi anda menyatakan hasratnya ingin berkunjung ke rumah anda serta singgah untuk beberapa hari, apakah yang akan anda lakukan sempena kedatangannya dan apakah perasaan anda?
Tentunya anda gembira, menyediakan persediaan bagi menerima kunjungannya dengan mengemas rumah dan mengadakan keperluan yang sepatutnya bagi tetamu tersebut.
Bukankah begitu yang selayaknya anda dan teman-teman lakukan?
Jika demikian, bagaimana pula jika yang akan datang menjenguk anda bukan sahaja dikasihi oleh diri sendiri, bahkan ia dikasihi oleh Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan sekelian orang yang beriman?
Tetamu yang akan berkunjung ini membawa bersamanya sepanjang siang dan malamnya kebaikan dan keberkatan daripada Allah. Ia adalah bulan Ramadan yang mulia, bulan berpuasa dan bertilawah al-Quran, bulan tahajud dan qiamullail, bulan kesabaran dan ketakwaan, bulan keampunan dan kebebasan daripada api neraka.
Padanya terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan pemasungan syaitan, penutupan pintu-pintu neraka dan pembukaan pintu-pintu syurga. Bulan gandaan pahala dan berkat untuk segala ketaatan dan kebaikan yang dilakukan.
Itulah sifatnya tetamu mulia ini, kerana itu amat wajarlah bagi kita - orang yang mengetahui kehebatannya, menyambutnya dengan cara terbaik, bersedia untuknya dengan menyiapkan dan membiasakan diri kita beramal padanya, moga-moga kita mendapat faedah daripada kunjungannya dan apabila ia pulang, jiwa raga kita telah bersih dan suci dengan limpahan rahmat Allah.
Oleh kerana itulah para ulama terdahulu menghargai tetamu ini dan diceritakan bahawa mereka memohon Allah melanjutkan usia mereka supaya dapat bersama bulan Ramadan sepanjang enam bulan sebelumnya, apabila ia berakhir mereka menangis sayu di atas pemergiannya dan berdoa agar Allah menerima amalan mereka bagi bulan Ramadan sepanjang beberapa bulan selepas itu.
Malangnya, sebahagian umat Islam menyambutnya dengan pelbagai kegiatan yang menyalahi hukum Allah SWT. Ada yang menyambutnya dengan berpesta, nyanyian, tarian dan muzik.
Sebahagian lagi menyediakan filem-filem yang menyeronokkan sepanjang malam bulan Ramadan yang dipenuhi dengan adegan yang memenuhi tuntutan nafsu.
Ramai yang menyambutnya dengan mengunjungi pasar-pasar, berasak-asak dengan orang ramai untuk membeli pelbagai jenis makanan dan minuman; seolah-olah bulan tersebut adalah bulan makan-minum, tidur pada waktu siang, berjaga pada malamnya dengan aneka hiburan.
Cara yang dianjurkan oleh Islam secara ringkas adalah sebagaimana berikut:
1. Berdoa semoga Allah melanjutkan usia kita dan dapat menyambut bulan Ramadan sebagaimana yang diamalkan oleh ulama silam, di samping memohon pertolongan-agar dapat berpuasa, qiamullail dan beramal soleh padanya.
2. Membersih diri dan bersuci, iaitu membersihkan diri dan jiwa dengan taubat daripada segala dosa dan maksiat. Taubat ini adalah wajib pada setiap waktu. Taubat bukanlah sekadar meninggalkan perbuatan dosa. Bahkan ia memerlukan pengembalian seluruh jiwa raga kepada Allah s.w.t.
3. Menyediakan diri bagi menyambut kedatangan Ramadan dengan menunaikan ibadat puasa sunat pada bulan Syaaban serta amalan kebaikan lain. Ia merupakan bulan diangkatkan segala amalan manusia kepada Allah s.w.t.
4. Antara perkara terpenting ialah mempelajari hukum-hakam puasa, mengetahui sunah Nabi SAW serta hukum hakam puasa sebelum menghampiri bulan tersebut.
5. Agenda seterusnya ialah menyediakan jadual ibadah untuk bulan yang mulia itu dengan program yang memenuhi waktu yang amat berharga bagi diri kita, keluarga, rakan-rakan dengan membaca al-Quran, tadarus, qiamullail, menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka, mengerjakan umrah, iktikaf, bersedekah, berzikir, membersihkan jiwa dan raga, dan seterusnya.
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu namanya ‘al-Rayyan’. Orang yang berpuasa masuk syurga melalui pintu itu. Orang lain tidak akan memasukinya. (riwayat Bukhari)
Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati kata-kata ini:
“Wahai mereka yang belum cukup baginya dosa pada bulan Rejab, sehingga menderhakai Tuhannya pada bulan Syaaban, telah datang kepadamu bulan puasa selepas kedua-duanya.
Janganlah jadikannya juga bulan kemaksiatan, kerana ia adalah bulan al-Quran dan bulan tasbih.
“Berapa ramai orang-orang terdahulu yang kamu kenal telah berpuasa di antara jiran tetangga dan sahabat handai?
“Mereka telah meninggal dunia sedangkan kamu masih hidup. Alangkah hampirnya masa mereka yang telah pergi dengan yang masih tinggal.
Ya Allah, sampaikan kami kepada bulan Ramadan, supaya kami dapat menunaikan ibadah puasa dan amalan soleh. Tetapkan pendirian kami di dalam ketaatan kepada-Mu sehingga kami menemui-Mu. Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Menyahut doa-doa kami”.
sumber: utusan malaysia