Pages

PROMOSI NOTA CENDAWAN 2011

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN DISINI

ProjekCendawan 4 Komen & pandangan


EWON Ebin (dua kiri) menyampaikan sijil tamat kursus kepada wakil peserta pada penutupan Kursus Penanaman Cendawan Bagi KIRMT Kuala Penyu di Kundasang, Sabah, kelmarin.


RANAU 15 Okt. - Golongan petani di daerah ini disaran supaya mengusaha tanaman cendawan sebagai pendapatan sampingan berikutan permintaannya yang semakin tinggi di pasaran.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, cendawan mudah diusahakan dan memberi pulangan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Tanaman ini tidak rumit dan hanya memerlukan masa dua atau tiga jam sehari untuk mengendalikannya. Ia amat sesuai dan berpotensi dijadikan punca pendapatan sampingan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutupan Kursus Penanaman Cendawan Bagi Ketua-Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) Kuala Penyu di Hotel Perkasa, Kundasang dekat sini semalam.

Seramai 35 KIRMT dari Kuala Penyu menyertainya yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Kuala Penyu dengan kerjasama Koperasi Pembangunan Desa (KPD) selama tiga hari.

Katanya, masih ramai yang tidak menyedari tanaman tersebut mudah diusahakan malah boleh dijadikan perusahaan utama untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, KPD menyediakan pelbagai bantuan seperti kursus penanaman, penjagaan, bekalan beg plastik dan baja termasuk teknik pembungkusan dan pemasaran.

Sementara itu, Pengurus Projek Penanaman Cendawan KPD, Jamilah Lee Abdullah berkata, cendawan kini mendapat permintaan berikutan khasiatnya yang tinggi untuk kesihatan.

Jamilah berkata, cendawan mempunyai protein dan vitamin yang tinggi berbanding sayur lain dan dipercayai boleh menjadi penawar kencing manis, anemia dan sengal sendi.

"Malah terdapat spesies cendawan yang boleh diguna untuk mencegah barah dan jangkitan virus HIV," katanya.

Pada masa kini, katanya, Sabah masih mengimport cendawan dari Semenanjung, China, Hong Kong dan Itali disebabkan pengeluaran tempatan yang masih tidak mencukupi.

Beliau berharap, tanaman tersebut mampu mengeluarkan KIRMT daripada kepompong kemiskinan.